Assalamualaikum..
Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan penerangan awal terutama kepada kanak-kanak sebelum mereka diperkenalkan kepada teknologi-teknologi tersebut. Di sini dapat dilihat bahawa peranan ibu bapa amatlah penting dalam memberikan penerangan awal kepada anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa dilihat mengabaikan tanggungjawab mereka ini menyebabkan sebahagian daripada golongan ini hanyut dengan godaan-godaan teknologi yang ada pada hari ini. Sebagai contoh pada hari ini banyaknya berlaku kes-kes serangan seksual, keganasan dan gejala negatif lain kerana mudahnya mereka terpengaruh dengan perkara-perkara sebegini yang mudah didapati jika mereka melayari internet mahupun yang dipaparkan di kaca televisyen. Penerangan awal kepada mereka mengenai penggunaan teknologi yang betul dapat mengurangkan mereka dari terus terpengaruh dengan bahan-bahan negatif yang turut dibawa dalam teknologi-teknologi masa kini.
Langkah kedua adalah dengan berusaha untuk memastikan bahawa penggunaan teknologi seperti internet dan telefon bimbit adalah di bawah pengawasan ibu bapa mahupun guru-guru. Ibu bapa dan guru-guru perlu mengawasi penggunaan teknologi dikalangan anak-anak dan murid-murid mereka. Di sekolah contohnya, ada subjek khas yang mengajar murid-murid ini cara untuk menggunakan teknologi dengan betul. Walaupun terdapat kekangan seperti mereka tidak dapat mengawasi anak-anak dan murid mereka setiap masa, namun kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk menggunakan teknologi dengan betul telah dipupuk sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Langkah seterusnya adalah dengan menggalakkan anak-anak muda terutamanya untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Kebanyakan anak-anak muda hari ini khususnya dan kesuluruhan masyarakat amnya lebih banyak menghabiskan masa bersendirian di hadapan computer seharian tanpa bergaul dengan masyarakat. Ini kadangkala mendorong golongan tersebut untuk menjadi pendiam, pasif dan tidak produktif. Sebagai contoh, terdapat kajian yang mengatakan bahawa kanak-kanak yang gemar bermain permainan video lebih cenderung untuk melakukan keganasan berbanding kanak-kanak yang gemar bergaul kerana mereka inginkan keputusan yang cepat. Ini salah satu contoh apabila penggunaan teknologi yang tidak cekap atau betul boleh menimbulkan masalah kepada masyarakat.
Langkah keempat adalah dengan memperkenalkan teknologi yang bersesuaian dengan umur dan kehendak anak-anak dan murid-murid mereka. Kebanyakan generasi muda hari ini diperkenalkan kepada teknologi yang mungkin belum bersesuaian dengan tahap perkembangan mental mereka. Sebagai contoh, dapat dilihat pada hari ini mungkin tidak lagi menjadi perkara yang menghairankan jika kanak-kanak berusia 5 atau 6 tahun sudah menggunakan telefon bimbit, internet tanpa pengawasan golongan dewasa dan menjadi kera sumbang dengan bermain permainan video sepanjang hari. Sekiranya fenomena ini berterusan, ia mungkin akan menjadikan generasi akan datang menjadi pasif dan kurang produktif.
Langkah terakhir adalah dengan mengkaji dan menyemak semula sukatan pelajaran komputer di sekolah. Subjek pelajaran komputer di sekolah pada hari ini lebih banyak menumpukan kepada cara untuk menggunakan komputer dan teknologi dan seakan-akan kurang memberikan perhatian kepada cara untuk menggunakan teknologi dan inovasi tersebut dengan betul. Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa belajar di sekolah, guru lebih memberi perhatian kepada cara untuk menggunakan teknologi tersebut tanpa menerangkan tentang kesan buruk yang dibawa bersama dengan teknologi tersebut. Sekiranya subjek ini diajar tanpa terlalu menumpukan kepada cara untuk menggunakannya sahaja saya yakin masyarakat kita tidak akan terpengaruh dengan kesan negatif yang dibawa bersama oleh teknologi dan inovasi ini.
No comments:
Post a Comment